Pelajar amali buat tugas remeh
KUALA LUMPUR: Persekutuan  Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mendedahkan ada pelajar universiti yang  menjalani latihan praktikal diberi tugasan remeh, termasuk membuat  salinan fotostat dan membancuh minuman untuk pegawai atasan.
 Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan, berkata pihaknya juga  menerima aduan daripada pelajar terbabit bahawa latihan yang dijalani  kurang berkesan dalam membantu mereka membuat persediaan memasuki  pasaran kerja.
Beliau berkata, antara punca utama masalah itu ialah disebabkan pihak  universiti atau Kementerian Pengajian Tinggi tidak menyediakan sukatan  latihan sebagai garis panduan standard untuk diikuti syarikat yang  menerima pelajar berkenaan.       “Ketika ini, tiada perundangan atau peraturan yang mewajibkan syarikat  menyediakan latihan industri kepada pelajar universiti, sebaliknya  mereka memberi kerjasama sebagai tanggungjawab sosial,” katanya kepada  Berita Harian.
 Bagaimanapun, katanya, masalah timbul kerana pihak syarikat tidak  jelas apakah output sebenar serta pengisian yang dikehendaki sepanjang  tempoh latihan itu.
 “Syarikat besar mungkin tiada masalah kerana ada modul latihan  sendiri. Namun, kebanyakan syarikat industri kecil dan sederhana (IKS)  tidak mempunyai modul itu dan terpaksa pandai-pandai sendiri memikirkan  bentuk latihan kepada pelajar terbabit selama mereka menjalani latihan  tiga atau empat bulan.
 “Lebih memburukkan keadaan ialah pihak universiti tidak  melaksanakan pemantauan secara berkala menyebabkan latihan industri  dijalani pelajar sambil lewa saja. Keadaan ini tidak boleh berterusan  kerana jika pelajar hanya menjalani latihan secara rambang, dikhuatiri  hasilnya nanti tidak seperti yang diharapkan,” katanya.    
 Shamsuddin berkata, perkara itu pernah dibangkitkan dalam  perbincangan antara pihak industri, kementerian dan universiti, tetapi  sehingga kini tiada tindakan lanjut diambil.
 Malah, katanya, masalah silibus itu ialah antara kekangan yang  menyebabkan sebahagian industri keberatan atau tidak berminat untuk  bekerjasama menyediakan latihan praktikal kepada pelajar universiti.
 Beliau berharap pihak universiti atau kementerian dapat  mengeluarkan segera templat silibus yang standard untuk panduan semua  syarikat supaya program latihan itu memanfaatkan pelajar dan industri.
 Katanya, kekangan lain yang turut dihadapi pihak syarikat ialah  ketiadaan insentif tertentu sebagai galakan, di samping risiko  menanggung beban sekiranya pelajar mengalami kemalangan ketika menjalani  latihan.
 “Bagi mengatasi kekangan ini serta menggalakkan penyertaan lebih  banyak syarikat, kerajaan disaran memberi insentif seperti potongan  cukai, terutama kepada syarikat yang membayar elaun latihan kepada  pelajar, manakala pihak universiti wajar menyediakan perlindungan  insurans kepada semua pelajar yang menjalani latihan industri,”
sumber : Berita Harian
                 Oleh Syuhada Choo Abdullah
                 choo@bharian.com.my
                 2010/03/23
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan