Ahad, 28 Mac 2010

Cheese Cake Special


Bahan-Bahan:
Bahan base
4 cawan biskut Marie (yang dikisar halus)
1 cawan almond (dikisar)
½ cawan gula halus
½ cawan mentega (dicairkan)
Bahan atas
3 sudu teh tepung kastard
3 sudu teh air
455gm cream cheese
1 ½ cawan gula kastor
Secubit garam
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu teh jus lemon
2 cawan sour cream
6 biji telur (asing putih kuning)
1 sudu teh lemon zest (amik sikit kulit lemon pakai garfu)
Cara:
Cara membuat base
• Gaulkan kesemua bahan dalam bekas yang sesuai dan kering
• Sapukan sedikit mentega pada loyang (spring form pan) dan tekankan adunan ke dalamnya
• Bakar pada 175 darjah selama 15 minit. Ketepikan

Cara membuat atasnya
• Larutkan tepung kastard bersama air di dalam bekas yang sesuai
• Pukul adunan tepung kastard bersama cream cheese dan gula sehingga cukup gebu
• Tambah garam, esen vanilla, jus lemon. Gaul rata
• Tambah sour cream, kuning telur, lemon zest. Gaul rata
• Di dalam bekas yang berlainan, pukul putih telur hingga gebu. Masukkan ke dalam adunan
• Tuang adunan ke dalam loyang yang mengandungi base dan bakar pada 175 darjah selama 45-60 minit. Tinggalkan loyang di dalam oven selama 1 jam selepas itu dengan pintu oven terbuka. Hias dengan hirisan lemon dan hidang
Cadangan Hidangan:
Hias dengan hirisan lemon dan hidang
Tambahan:
Cuba dahulu,mesti terangkat punyer!!

Sabtu, 27 Mac 2010

Percutian Idaman



Pulau Redang

Pulau Redang yang terletak di perairan Laut China Selatan merupakan salah satu daripada sembilan buah pulau yang membentuk taman laut Kepulauan Redang, di negeri Terengganu, Malaysia, serta tapak pemuliharaan penyu yang penting. Perairan di sekeliling Pulau Redang juga mengandungi dua buah bangkai kapal yang bersejarah, iaitu H.M.S Putera Wales dan H.M.S Repulse yang telah ditenggelamkan di sini pada permulaan Perang Dunia II dan mewujudkan suasana bagi pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Pulau-pulau lain yang berhampiran termasuk Pulau Lang Tengah, Pulau Perhentian Besar, Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Bidong.

Pulau Redang adalah salah satu pulau yang terbesar dan yang tercantik di pantai timur Malaysia. Pulau ini kini merupakan sebuah pulau peranginan yang amat popular di kalangan orang Malaysia, dengan kebanyakan mereka yang datang melalui pakej pelancongan. Salah satu pantai yang paling cantik di pulau ini ialah Pasir Panjang. Pasirnya putih dan airnya jernih, dengan batu karang dan ikan terdapat hanya beberapa meter dari tepi pantai. Antara kemudahan di pulau ini ialah kegiatan snorkel dan junam.

Pulau Redang boleh dikunjungi melalui Merang atau Kuala Trengganu dengan bot-bot yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat peranginan di sini. Jaraknya dari jeti Kampung Penarik ialah 30 kilometer nautika. Terdapat juga sebuah lapangan terbang kecil di pulau ini.

Penjagaan komputer riba/laptop (cara 1)




Ikutilah beberapa
Tip cara penjagaan komputer riba anda.

1. Bateri
* Elakkan daripada penggunaan bateri.
* Komputer lebih sejuk tanpa haba dari bateri.
* Jika bateri sudah habis dicas, digalakkan menggunakan kuasa dari adapter.
* Pastikan bateri berada di bawah 10 peratus sebelum dicas semula.
* Jika terlalu kerap dicas, bateri akan kehilangan keupayaan menyimpan
tenaga di bawah 50 peratus.

2. Papan Kekunci.
* Letakkan sekeping kertas A4 untuk papan kekunci setiap kali tidak
menggunakannya untuk menghindarkan papan kekunci dimasuki habuk.
* Sesekali lapkan papan kekunci dengan perlahan-lahan. Jangan terlalu
kasar untuk mengelakkan butang kekunci rosak.
* Kalau boleh gunakan papan kekunci dan tetikus berasingan supaya kita
tidak terlalu kerap menggunakan papan kekunci di komputer riba.

3. Skrin LCD
* Lapkan ia selalu kerana mudah dimasuki habuk.
* Gunakan screen saver.
* Power management setkan pada ?Turn Off monitor in ? minutes?.
* Elakkan menyentuh skrin dengan jari kerana kesan jari yang berminyak
menyukarkan untuk pembersihan.
* Jangan letakkan jari di skrin kerana boleh menyebabkan ?Dead pixel?.

4. Haba Panas
* Pasikan komputer riba anda ada ruang untuk mengeluarkan haba panas.
* Perlu diingat komputer riba mempunyai ruang simpanan yang kecil.

5. Surge Protector
* Fungsinya sebagai menjaga perisian dan perkakasan daripada rosak.
* Disyorkan jenama APC, BELKIN atau TARGUS.
* Kelebihan APC – mempunyai bateri simpanan, line protection (tiada
elektrik tapi masih boleh dihidupkan lagi) dan mempunyai amaran kehabisan
bateri.
* Kelebihan lain Surge Protector ialah menjaga HDD dan Power Supply.

6. Port
* Sentiasa dibersihkan kerana mudah dimasuki habuk.
* Gunakan berus atau berus gigi lama.
* Pastikan suis dimatikan ketika membuat pembersihan.

Konsep 1 Malaysia ( Penjelasan Mengenai Lapan Nilai 1 Malaysia )

‘1 MALAYSIA’

Disediakan Oleh: Bahagian Penerbitan Dasar Negara

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.

‘1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’

Latihan Industri : Bancuh air, salin fotostat?

Pelajar amali buat tugas remeh

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mendedahkan ada pelajar universiti yang menjalani latihan praktikal diberi tugasan remeh, termasuk membuat salinan fotostat dan membancuh minuman untuk pegawai atasan.

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan, berkata pihaknya juga menerima aduan daripada pelajar terbabit bahawa latihan yang dijalani kurang berkesan dalam membantu mereka membuat persediaan memasuki pasaran kerja.

Beliau berkata, antara punca utama masalah itu ialah disebabkan pihak universiti atau Kementerian Pengajian Tinggi tidak menyediakan sukatan latihan sebagai garis panduan standard untuk diikuti syarikat yang menerima pelajar berkenaan. “Ketika ini, tiada perundangan atau peraturan yang mewajibkan syarikat menyediakan latihan industri kepada pelajar universiti, sebaliknya mereka memberi kerjasama sebagai tanggungjawab sosial,” katanya kepada Berita Harian.

Bagaimanapun, katanya, masalah timbul kerana pihak syarikat tidak jelas apakah output sebenar serta pengisian yang dikehendaki sepanjang tempoh latihan itu.

“Syarikat besar mungkin tiada masalah kerana ada modul latihan sendiri. Namun, kebanyakan syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) tidak mempunyai modul itu dan terpaksa pandai-pandai sendiri memikirkan bentuk latihan kepada pelajar terbabit selama mereka menjalani latihan tiga atau empat bulan.

“Lebih memburukkan keadaan ialah pihak universiti tidak melaksanakan pemantauan secara berkala menyebabkan latihan industri dijalani pelajar sambil lewa saja. Keadaan ini tidak boleh berterusan kerana jika pelajar hanya menjalani latihan secara rambang, dikhuatiri hasilnya nanti tidak seperti yang diharapkan,” katanya.
Shamsuddin berkata, perkara itu pernah dibangkitkan dalam perbincangan antara pihak industri, kementerian dan universiti, tetapi sehingga kini tiada tindakan lanjut diambil.

Malah, katanya, masalah silibus itu ialah antara kekangan yang menyebabkan sebahagian industri keberatan atau tidak berminat untuk bekerjasama menyediakan latihan praktikal kepada pelajar universiti.

Beliau berharap pihak universiti atau kementerian dapat mengeluarkan segera templat silibus yang standard untuk panduan semua syarikat supaya program latihan itu memanfaatkan pelajar dan industri.

Katanya, kekangan lain yang turut dihadapi pihak syarikat ialah ketiadaan insentif tertentu sebagai galakan, di samping risiko menanggung beban sekiranya pelajar mengalami kemalangan ketika menjalani latihan.

“Bagi mengatasi kekangan ini serta menggalakkan penyertaan lebih banyak syarikat, kerajaan disaran memberi insentif seperti potongan cukai, terutama kepada syarikat yang membayar elaun latihan kepada pelajar, manakala pihak universiti wajar menyediakan perlindungan insurans kepada semua pelajar yang menjalani latihan industri,”

sumber : Berita Harian
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/03/23

Makanan dan Pemakanan - Vitamin




KEPERLUAN VITAMIN UNTUK MANUSIA

Vitamin ialah bahan organik yang sangat diperlukan oleh badan dengan jumlah kecil. Ia berperanan dalam pertumbuhan normal, pengawalan kesihatan dan pencegahan penyakit. Vitamin biasanya disebut sebagai mikronutrien. Ia membantu pertumbuhan proses protein, karbohidrat dan lemak dalam badan anda.

Sesetengah vitamin pula membantu tubuh menghasilkan sel-sel darah dan hormon. Biasanya, tubuh kita tidak dapat menghasilkan banyak mikronutrien.

Oleh sebab itu, anda perlu mendapatkannya sama ada daripada makanan atau suplemen(makanan tambahan seperti vitamin) yang lain.

Meskipun kandungan vitamin tidak selengkap pengambilan makanan biasa, tapi bukan bererti suplemen vitamin tidak diambil.

Cuma, anda perlu faham bahawa vitamin bukan pengganti kepada makanan harian anda. Terutama, makanan yang kaya dengan nutrien.

JENIS-JENIS VITAMIN

Jenis vitamin Fungsi
Larut dalam lemak :
Vitamin A
Menggalakkan pertumbuhan tulang, pertahanan terhadap penyakit, memperbaiki struktur kulit serta mengelakkan rabun.
Vitamin D Pertumbuhan normal, meningkatkan paras sitrat(garam asid sitrik) dalam darah dan menggalakkan penyerapan kalsium dalam usus, menjaga kesihatan tulang dan gigi.
Vitamin E Sangat penting untuk mempertahankan fungsi saraf dan otot, melindungi struktur membran daripada rosak, mengekalkan pertumbuhan normal, mengelakkan metabolisma, mengekalkan struktur paru-paru, hati, dan membran sel darah merah. Sebagai antioksida, vitamin ini bermanfaat sebagai mencegah penyakit jantung dan melambatkan penuaan.
Vitamin K Bagus untuk mereka yang baru menjalani pembedahan. Vitamin ini membantu membentuk struktur tubuh baru dan menyembuhkan jahitan.
Larut dalam air:
Vitamin C
Membantu mempercepatkan penyembuhan luka, menjaga sistem kekebalan tubuh, menyerap zat besi, membentuk tulang dan gigi.
Vitamin B (B1, B2, B3, B5, B6, B12) Membantu pertumbuhan dan perkembangan bayi, selera makan, pencernaan, menjaga tisu mata, dan membantu proses metabolisma.

APA AKAN TERJADI JIKA TIDAK MENGAMBIL VITAMIN

Semua orang digalakkan mengambil vitamin. Lebih-lebih lagi, anda yang tidak lalu makan atau tidak mahu makan sayur, ikan, dan daging.

Vitamin juga bagus untuk anda yang tidak suka minum susu atau apa sahaja jenis makanan yang bernutrien tinggi. Sekiranya anda amalkan cara pemakanan sebegini, lama-kelamaan badan akan kehilangan vitamin dan nutrien.

Untuk mendapatkan nutrien yang hilang itu, anda perlu makan vitamin. Pengambilan vitamin akan membantu tubuh berfungsi secara normal.

Kekurangan vitamin tertentu dalam tubuh akan mengakibatkan beberapa gejala penyakit.

Misalnya, rabun(kurang vitamin A) dan anemia(penyakit yang disebabkan oleh kekurangan sel darah merah) Penyakit anemia ini adalah disebabkan kekurangan vitamin B12 atau zat besi.

MAKANAN YANG BOLEH MENGGANTIKAN VITAMIN

Susah hendak mendapatkan vitamin?

Anda jangan risau sebab vitamin ada di rumah anda sendiri. Di dapur ada banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.

Setiap sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai kandungan vitamin yang tersendiri.

Boleh dikatakan hampir semua makanan mempunyai kandungan vitamin. Cuma yang membezakan adalah jenis-jenis vitaminnya.

i) Tomato - kaya dengan vitamin A, C, dan serat juga zat besi.

ii) Avokado - kaya dengan khasiat protein, kalsium, zat besi, vitamin A dan C.

iii) Pisang - vitamin A dan C, potasium dan zat besi.

iv) Nanas - vitamin A, B, dan C.

v) Telur, susu, hati - menyediakan vitamin A.

vi) Kekacang dan daging - sumber kepada vitamin B1.

vii) Keju, putih telur, dan yogurt - menyediakan vitamin B2.

viii) Ubi kentang, sardin, dan tuna - sumber untuk vitamin D.

ix) Sayuran berdaun hijau, kacang soya, dan gandum - kaya dengan vitamin E.

x) Kubis dan daun salad - penyumbang kepada vitamin K.

PANDUAN MENGAMBIL VITAMIN

Di bawah ini adalah tip dan panduan berkenaan pengambilan vitamin:

a. Pastikan vitamin yang diambil telah mendapat kelulusan doktor dan klinik yang berdaftar.

Jangan mengambil sebarangan vitamin kerana bimbang ia tidak mendapat kelulusan yang ditetapkan. Ikuti nasihat doktor pakar sekiranya anda dikehendaki mengambil vitamin.

b. Baca terlebih dahulu label dan kandungan vitamin yang terdapat pada botol.

Anda perlu tahu vitamin apa yang anda ambil dan makan. Adakah keterangan yang terdapat di botol tersebut tertulis vitamin A atau C. Kalau anda merasa ragu-ragu dengan tulisan pada botol tersebut, minta bantuan ibu atau ayah anda atau pun daripada pakar perubatan. Ini kerana mungkin ada perkataan yang anda tidak fahami berkenaan vitamin tersebut.

c. Jangan mengambil dos secara berlebihan.

"Kalau makan banyak vitamin, adik lagi sihat kan?" tanya Yani kepada emaknya. Sebenarnya tidak semestinya mengambil vitamin dalam kuantiti yang banyak membuatkan anda lagi sihat sebaliknya anda akan mengalami pelbagai penyakit disebabkan kesilapan mengambil dos. Jadi, ambillah vitamin pada kadar yang telah ditetapkan. Lazimnya, tidak melebihi dua biji untuk satu jenis vitamin.

d. Minta ibu bapa temani semasa mengambil vitamin bagi kanak-kanak.

Sebaiknya kehadiran ibu atau bapa di sisi kanak-kanak semasa mengambil vitamin adalah lebih elok. Ini adalah penting untuk menggelakkan daripada berlakunya kesilapan pengambilan vitamin.

e. Pastikan vitamin disimpan di tempat yang selamat.

Vitamin seelok-eloknya disimpan di tempat yang kering dan sejuk. Ia juga tidak boleh terdedah kepada cahaya matahari. Ini adalah untuk mengelakkan daripada nutrien vitamin hilang.

Jumaat, 26 Mac 2010