Sabtu, 27 Mac 2010

Makanan dan Pemakanan - Vitamin




KEPERLUAN VITAMIN UNTUK MANUSIA

Vitamin ialah bahan organik yang sangat diperlukan oleh badan dengan jumlah kecil. Ia berperanan dalam pertumbuhan normal, pengawalan kesihatan dan pencegahan penyakit. Vitamin biasanya disebut sebagai mikronutrien. Ia membantu pertumbuhan proses protein, karbohidrat dan lemak dalam badan anda.

Sesetengah vitamin pula membantu tubuh menghasilkan sel-sel darah dan hormon. Biasanya, tubuh kita tidak dapat menghasilkan banyak mikronutrien.

Oleh sebab itu, anda perlu mendapatkannya sama ada daripada makanan atau suplemen(makanan tambahan seperti vitamin) yang lain.

Meskipun kandungan vitamin tidak selengkap pengambilan makanan biasa, tapi bukan bererti suplemen vitamin tidak diambil.

Cuma, anda perlu faham bahawa vitamin bukan pengganti kepada makanan harian anda. Terutama, makanan yang kaya dengan nutrien.

JENIS-JENIS VITAMIN

Jenis vitamin Fungsi
Larut dalam lemak :
Vitamin A
Menggalakkan pertumbuhan tulang, pertahanan terhadap penyakit, memperbaiki struktur kulit serta mengelakkan rabun.
Vitamin D Pertumbuhan normal, meningkatkan paras sitrat(garam asid sitrik) dalam darah dan menggalakkan penyerapan kalsium dalam usus, menjaga kesihatan tulang dan gigi.
Vitamin E Sangat penting untuk mempertahankan fungsi saraf dan otot, melindungi struktur membran daripada rosak, mengekalkan pertumbuhan normal, mengelakkan metabolisma, mengekalkan struktur paru-paru, hati, dan membran sel darah merah. Sebagai antioksida, vitamin ini bermanfaat sebagai mencegah penyakit jantung dan melambatkan penuaan.
Vitamin K Bagus untuk mereka yang baru menjalani pembedahan. Vitamin ini membantu membentuk struktur tubuh baru dan menyembuhkan jahitan.
Larut dalam air:
Vitamin C
Membantu mempercepatkan penyembuhan luka, menjaga sistem kekebalan tubuh, menyerap zat besi, membentuk tulang dan gigi.
Vitamin B (B1, B2, B3, B5, B6, B12) Membantu pertumbuhan dan perkembangan bayi, selera makan, pencernaan, menjaga tisu mata, dan membantu proses metabolisma.

APA AKAN TERJADI JIKA TIDAK MENGAMBIL VITAMIN

Semua orang digalakkan mengambil vitamin. Lebih-lebih lagi, anda yang tidak lalu makan atau tidak mahu makan sayur, ikan, dan daging.

Vitamin juga bagus untuk anda yang tidak suka minum susu atau apa sahaja jenis makanan yang bernutrien tinggi. Sekiranya anda amalkan cara pemakanan sebegini, lama-kelamaan badan akan kehilangan vitamin dan nutrien.

Untuk mendapatkan nutrien yang hilang itu, anda perlu makan vitamin. Pengambilan vitamin akan membantu tubuh berfungsi secara normal.

Kekurangan vitamin tertentu dalam tubuh akan mengakibatkan beberapa gejala penyakit.

Misalnya, rabun(kurang vitamin A) dan anemia(penyakit yang disebabkan oleh kekurangan sel darah merah) Penyakit anemia ini adalah disebabkan kekurangan vitamin B12 atau zat besi.

MAKANAN YANG BOLEH MENGGANTIKAN VITAMIN

Susah hendak mendapatkan vitamin?

Anda jangan risau sebab vitamin ada di rumah anda sendiri. Di dapur ada banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.

Setiap sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai kandungan vitamin yang tersendiri.

Boleh dikatakan hampir semua makanan mempunyai kandungan vitamin. Cuma yang membezakan adalah jenis-jenis vitaminnya.

i) Tomato - kaya dengan vitamin A, C, dan serat juga zat besi.

ii) Avokado - kaya dengan khasiat protein, kalsium, zat besi, vitamin A dan C.

iii) Pisang - vitamin A dan C, potasium dan zat besi.

iv) Nanas - vitamin A, B, dan C.

v) Telur, susu, hati - menyediakan vitamin A.

vi) Kekacang dan daging - sumber kepada vitamin B1.

vii) Keju, putih telur, dan yogurt - menyediakan vitamin B2.

viii) Ubi kentang, sardin, dan tuna - sumber untuk vitamin D.

ix) Sayuran berdaun hijau, kacang soya, dan gandum - kaya dengan vitamin E.

x) Kubis dan daun salad - penyumbang kepada vitamin K.

PANDUAN MENGAMBIL VITAMIN

Di bawah ini adalah tip dan panduan berkenaan pengambilan vitamin:

a. Pastikan vitamin yang diambil telah mendapat kelulusan doktor dan klinik yang berdaftar.

Jangan mengambil sebarangan vitamin kerana bimbang ia tidak mendapat kelulusan yang ditetapkan. Ikuti nasihat doktor pakar sekiranya anda dikehendaki mengambil vitamin.

b. Baca terlebih dahulu label dan kandungan vitamin yang terdapat pada botol.

Anda perlu tahu vitamin apa yang anda ambil dan makan. Adakah keterangan yang terdapat di botol tersebut tertulis vitamin A atau C. Kalau anda merasa ragu-ragu dengan tulisan pada botol tersebut, minta bantuan ibu atau ayah anda atau pun daripada pakar perubatan. Ini kerana mungkin ada perkataan yang anda tidak fahami berkenaan vitamin tersebut.

c. Jangan mengambil dos secara berlebihan.

"Kalau makan banyak vitamin, adik lagi sihat kan?" tanya Yani kepada emaknya. Sebenarnya tidak semestinya mengambil vitamin dalam kuantiti yang banyak membuatkan anda lagi sihat sebaliknya anda akan mengalami pelbagai penyakit disebabkan kesilapan mengambil dos. Jadi, ambillah vitamin pada kadar yang telah ditetapkan. Lazimnya, tidak melebihi dua biji untuk satu jenis vitamin.

d. Minta ibu bapa temani semasa mengambil vitamin bagi kanak-kanak.

Sebaiknya kehadiran ibu atau bapa di sisi kanak-kanak semasa mengambil vitamin adalah lebih elok. Ini adalah penting untuk menggelakkan daripada berlakunya kesilapan pengambilan vitamin.

e. Pastikan vitamin disimpan di tempat yang selamat.

Vitamin seelok-eloknya disimpan di tempat yang kering dan sejuk. Ia juga tidak boleh terdedah kepada cahaya matahari. Ini adalah untuk mengelakkan daripada nutrien vitamin hilang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan