“Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan”.
Surah al-Maidah (5):96

“Dan (penduduk Syurga itu) Kami tambahi mereka (dari semasa ke semasa), dengan buah-buahan dan daging dari berbagai jenis yang mereka ingini”.
Surah al-Thur (52):22

“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya”.
Surah al-Nahl (16):66

Dalam hadith Rasulullah s.a.w. pula, Baginda selalu memakan buah tamar bersama para sahabatnya seperti yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a :

“Suatu ketika Nabi s.a.w. membahagikan kurma kepada para sahabatnya dan memberi mereka masing-masing 7 butir kurma. Nabi s.a.w. juga memberiku 7 butir kurma. 1 dari 7 butir kurma itu kering dan liat. Aku sangat menyukainya. Aku berlama-lama mengunyahnya”.
(Abi ‘Abdullah Muhammad b. Isma‘il b. Ibrahim b. al-Mughirah b. al-Bardizbah al-Bukhari (2000), ”Sahih al-Bukhari” dlm Mawsu‘ah al-Hadith al-Sharif al-Kitab al-Sittah, (tahqiq) S?alih bin ‘Abd al-‘Aziz bin Muhammad bin Ibrahim, Riyadh : Dar al-Salam, Kitab al-At‘imah , Bab ma Ka al-Nabi s.a.w wa Ashabihi ya’kulun , no. hadith 5411, h. 467)

Mengikut kajian saintifik, 100 gram buah tamar bersamaan 60-70% karbohidrat, 15.3% air, 2.5% protein, 0.4% lemak, 2.1% garam mineral dan 3.9% serat. Karbohidrat berfungsi sebagai sumber tenaga langsung bagi badan manusia. Setiap individu memerlukan 50-60% karbohidrat bertujuan untuk mendapatkan tenaga untuk aktiviti seharian. Contoh bahan makanan yang kaya dengan karbohidrat ialah seperti bijirin atau makanan yang dibuat daripada bijirin seperti nasi, jagung dan roti (Dr. Danial Zainal Abidin (2003), Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden Edisi Ke-2. Bentong: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, h. 28).

Rasulullah s.a.w. telahpun memberikan tunjuk ajar kepada umatnya tentang perkara tersebut seperti hadith Rasulullah s.a.w., dari ‘A’ishah r.a meriwayatkan :

“Bahawa setiap kali salah seorang kerabatnya meninggal dunia, kaum perempuan berkumpul dan kemudian kembali ke rumahnya masing-masing kecuali kaum kerabat dan teman-teman dekatnya. Ia memerintahkan memasak semangkuk talbinah. Kemudian tharid (hidangan yang terdiri dari roti dan daging) akan disiapkan dan talbinah ditaburkan di atasnya. ‘A’ishah berkata kepada mereka, ‘makanlah kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, talbinah melembutkan hati dan menghilangkan sebahagian kesedihan” (Al-Bukhari (2000), op.cit., Kitab al-At’ imah , Bab al-Talbinah , no. hadith 5417, h. 467).